Thursday, November 1, 2012

MERANCANG HIJRAH


Assalamu’alaikum kepada semua pembaca khususnya adik-adik remaja yang dikasihi sekalian. Ketika sedang menyiapkan artikel kali ini, penulis merasakan masa berlalu sangat pantas. Rasanya seakan baru sahaja memasuki tahun 2012. Tetapi untuk beberapa hari lagi, tahun 2012 ini akan meninggalkan kita. Paling penting, kita umat Islam akan memasuki bulan Muharam tidak lama lagi. Kedatangan Muharam sudah tentu menjadi titik permulaan untuk kita semua berhijrah melakukan transformasi diri yang lebih baik daripada sebelumnya. InsyaAllah.

Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Ayat di atas cukup jelas kepada kita betapa signifikan melakukan hijrah dalam mengubah diri menjadi insan yang lebih baik, lebih soleh dan lebih bertaqwa. 

Pernahkah pula adik-adik remaja di luar sana mendengar ungkapan ini ‘fail to plan is plan to fail (gagal merancang ialah merancang untuk gagal)’? Penulis yakin tentu ramai yang pernah mendengarnya. Walaupun begitu, sejauhmana kita benar-benar memahami peri-penting ungkapan tersebut dalam merancang kehidupan kita?

Berikut adalah cara-cara bagaimana merancang hijrah untuk menjadi insan remaja soleh:-
1)     Tetapkan matlamat- iaitu matlamat yang realistik. Sebagai contoh, SOLAT LIMA WAKTU SEHARI SEMALAM TANPA GAGAL+ IBADAH SUNAT (Qiyammullail seminggu sekali, baca Al-Qur’an dan tafsirnya, amalkan zikir mathurat setiap hari).

2)     Doa dan niat. Sentiasa berdoa dan memperbaharui niat untuk menjadi insan soleh kerana Allah Ta’ala. Perihal doa ini pernah diungkapkan sebagai senjata orang mukmin. Doa menjadikan kita kuat ketika lemah, memberikan kita dorongan ketika kita rasa putus asa, menjadikan kita hamba yang sangat lembut hati dan sentiasa mendambakan pertolongan Allah. Manakala, memperbaharui niat pula akan mengingatkan diri untuk sentiasa fokus mencari keredhoaannya.



3)     Usaha dan Ikhtiar. Kita perlu berusaha dan mencari pilihan terbaik (ikhtiyar)untuk menjayakan proses mencapai matlamat hijrah. Antara usaha yang boleh dibuat ialah seperti menghadiri kelas-kelas tahsin solat, tahsin bacaan Al-Qur’an yang ada di kawasan terdekat, berkawan dengan sahabat-sahabat yang soleh, meninggalkan majlis atau program sia-sia (lagho) dengan mendekati majlis-majlis ilmu, kem-kem ibadah untuk memantapkan rohani. Jangan segan untuk mencari ilmu agama walaupun agak terlambat kerana pepatah Arab pernah menyatakan ‘tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke liang lahad.”


4)     Bertawakal. Proses berikutnya dalam menjayakan rancangan hijrah diri adalah bertawakal setelah sehabis usaha dilakukan. Allah Ta’ala berfirman, ‘faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah’ (Maka setelah kamu berazam, maka bertawakkallah ke atas Allah Ta’ala.) Tawakal ini penting sebagai memupuk diri supaya sentiasa bergantung kepada Allah Ta’ala dalam kehidupan.

5)     Muhasabah diri. Bagaimana mahu menentukan rancangan hijrah sentiasa berjalan baik? Caranya sudah tentu dengan melakukan muhasabah diri. Tidak ada salahnya kalau kita membuat jadual ibadah tahunan kita untuk tujuan menilai diri. Sekurang-kurangnya, dengan cara itu, kita dapat memperbaiki segala kelompongan dan usaha hijrah berkesan.

Kesimpulannya, ‘tepuk dada, tanyalah iman.’ Jom adik-adik remaja! Kita rancang hijrah kita menjadi insan yang lebih soleh, lebih bertaqwa. Selamat maju jaya dan salam awal Muharam pada semua. Wassalam.
»»  READMORE...

Monday, October 22, 2012

FOBIA ISLAM DALAM FILEM BARAT


Usai menonton filem baru penuh aksi Taken 2 lakonan Liam Neeson membawa penulis kepada suatu kesimpulan mudah iaitu ia merupakan satu lagi anasir negatif berbaur jahat Barat ke atas masyarakat Islam. Filem tersebut adalah kesinambungan dari filem pertama Taken yang mengkisahkan seorang bekas agen Kerajaan, Brian Mills yang menyelamatkan anak perempuannya, Kim yang telah diculik oleh sekumpulan penjahat beragama Islam. Filem ini juga telah menjuarai carta filem beberapa minggu selepas penayangannya di pawagam-pawagam seluruh Malaysia.

Mills ditampilkan sebagai hero dalam filem Taken pertama, manakala dalam filem Taken 2 anaknya Kim memainkan peranan heroin yang cuba menyelamatkan ayah dan ibunya yang diculik oleh sekumpulan pengganas Muslim yang ingin membalas dendam ke atas kematian anak dan rakan-rakan mereka dalam Taken pertama. Sudah tentu watak antagonis dalam filem tersebut adalah orang Islam. Malah babak pertama dalam filem ini dibuka dengan bacaan surah al-Fatihah oleh ahli keluarga dan teman-taulan semasa pengkebumian para penjenayah muslim yang telah dibunuh oleh Mills dalam misi menyelamatkan anak gadisnya yang di culik dalam filem Taken pertama.

Filem ini walaupun menarik kerana penuh aksi dan terdapat unsur kekeluargaan, tetapi pada masa yang sama ia juga berbahaya kerana menyebarkan semangat fobia Islam. Dalam filem tersebut, Islam digambarkan sebagai agama terroris di mana para penjahat, iaitu penganut Islam terlibat dalam jenayah kolar putih seperti sindeket pelacuran, pembunuhan dan jenayah lain. Malah para penjenayah juga mengamalkan budaya Islamik seperti memberi salam (secara sempurna) kepada rakan penjenayah yang lain. Laungan azan juga kerap kali kedengaran setiap kali adanya babak-babak cemas penuh aksi dalam filem tersebut. Lokasi penggambaran filem iaitu di Istanbul, Turki iaitu Negara tinggalan Khilafah Uthmaniyyah terakhir selepas dihapuskan pada tahun 1924 seakan-akan sengaja mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.

Penulis maklum, ini bukanlah filem pertama Barat terutamanya Amerika yang menyemai benih-benih fobia Islam melalui seni perfileman. Selain filem Taken (siri satu dan dua), terdapat filem-filem lain yang mendapat sambutan hangat antaranya Beyond Borders, Special Forces dan terbaru Innocent of Muslims yang mencetuskan keadaan huru-hara apabila umat Islam seluruh dunia berang dan segelintir mereka memilih untuk menyerang kedutaan Amerika di beberapa Negara Islam.


Sudah dijangka pihak Barat akan mempertahankan filem-filem tersebut terutamanya Innocent of Muslims atas nama ‘kebebasan asasi’ tetapi malangnya mereka tidak menghormati sensitiviti agama masyarakat muslim hari ini. Barat juga kelihatan berat sebelah dan bersikap defensif apabila menampilkan watak-watak utama dalam kebanyakan filem mereka yang sudah tentu digambarkan sebagai polis dan hakim dunia walaupun hakikatnya banyak peristiwa besar kehancuran jiwa manusia dalam sejarah dunia adalah bermula dari tangan mereka sendiri.

Islam Bukan Agama Keganasan: Suatu Mitos dari Barat yang Memakan Diri

Tuduhan jahat Barat mengaitkan Islam dengan keganasan sudah tentu jauh meleset. Sejarah juga telah mencatatkan Islam tersebar ke pelusuk dunia tanpa melalui mata pedang sepertimana yang dicanangkan oleh mereka. Lihat sahaja Mesir, walaupun telah diperintah oleh Muslim untuk beberapa abad sehingga hari ini, tetapi statistik menunjukkan lebih 40 ribu penduduk Mesir adalah beragama kristian secara keturunan. Malah juga di India, lebih 80 peratus adalah beragama Hindu walaupun Islam pernah memerintah wilayah India. Di Malaysia dan Indonesia, Islam menjadi agama persekutuan dan rasmi bagi kedua-dua Negara tanpa sebarang pertumpahan darah. Ini sudah cukup menafikan mitos dari Barat yang mengatakan Islam agama yang menganjurkan keganasan.

Suatu fenomena yang paling menarik ialah peningkatan penganut Islam di Amerika. Walaupun pelbagai cara dibuat oleh Amerika untuk menyemarakkan api fobia Islam ke serata dunia, tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Ini boleh dilihat dengan melihat gelombang peningkatan penduduknya yang mula memahami dan seterusnya menganut Islam. Berita-berita serong mengenai Islam telah sebenarnya membuka mata masyarakat Barat lain untuk mengetahui ajaran Islam sebenar.

Mitos yang dicanang Amerika sebenarnya memakan diri. Di Amerika sahaja pada tahun 1970, terdapat 100 ribu Muslim di negara itu tetapi pada  tahun 2008, terdapat 9 juta Muslim dan dijangka terus meningkat untuk tahun-tahun mendatang. Peningkatan ini berterusan terutamanya selepas publisiti meluas mengenai Islam rentetan daripada peristiwa ‘September Hitam’- 9/11. Fenomena ini dibantu oleh pendakwah Muslim yang komited menjelaskan ajaran sebenar Islam selain ajaran Islam itu sendiri sesuai dengan fitrah manusia.

Kesimpulannya, pernah George Bernard Shaw menegaskan, ‘agama yang akan menjadi pilihan golongan terpelajar, bertamadun dan yang sedar pada masa hadapan hanyalah Islam.’ (Dipetik melalui Mohamad Sofee Razak, Islam dari Cermin Mata Orientalisme, Pemikir: Oktober- Disember 2011.) Justeru, elemen fobia Islam dalam filem-filem terbitan Barat harus juga ditangani dengan adanya kerja-kerja dakwah yang lebih sistematik dan menyeluruh seperti terbitan filem Islami yang menggambarkan ajaran Islam sebenar, menghidupkan Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah dalam kehidupan harian dan menganjurkan dialog-dialog peradaban untuk memperbetulkan persepsi masyakarat tentang Islam sebenar. Wallahu’alam.


»»  READMORE...

Wednesday, September 19, 2012

KESENGSARAAN MANUSIA PERAHU DAN KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’


Pada 14 September yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia telah membuat satu sidang media bagi menuntut Kerajaan Myanmar beri hak kerakyatan kepada etnik Rohingya di pejabat Abim, Taman Cemerlang, Gombak yang turut dihadiri oleh para ustaz dari Persatuan Muslim Rohingya Malaysia.


Kepedulian ini bukanlah suatu usaha baru oleh Abim kerana seawal 1990-an lagi Abim telah mendesak agar Kerajaan Myanmar lebih prihatin dengan nasib etnik yang paling dilupakan di rantau Asia ini. Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala  oleh Junta Tentera Myanmar.


Konflik yang berlaku di antara etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan tahun ini apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke hari ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote,  daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang beberapa dekad yang lalu.


LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA


Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki, Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.


Nasib Etnik Muslim Rohingya mula terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.

Etnik ini kemudian terus ditindas apabila dasar fobia Islam (Islamphobia) disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.  

Di era 1990-an sahaja, terdapat 86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25 peratus daripadanya adalah etnik Rohingya  dan selebihnya adalah etnik Chins dan lain-lain.(Arzura Idris, 2012)

Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini adalah:-

  1. ·         Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
  2. ·         Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
  3. ·         Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
  4. ·         Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
  5. ·         Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
  6. ·         Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
  7. ·         Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.


Sehingga hari ini, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri.


PENANGKAPAN ARBITRARI @ TIDAK BERASAS PENDUDUK TEMPATAN

Malah kerajaan Junta juga telah melaksanakan penangkapan sejumlah penduduk  tempatan secara arbitrari dan tidak berasas. Tidak terkecuali seorang Doktor  ternama di wilayah bergolak itu bersama ahli keluarganya. Beliau selalu menjadi wakil umat Islam dalam menyalurkan maklumat dan menyelesaikan konflik antara etnik Rohingya dan Kerajaan Junta Myanmar.

Pada sidang media yang lalu, Abim juga mendesak supaya bapa (Dr. Tun Aung- Presiden Majlis Agama dan juga seorang doktor), kakak (Mya Nandar Aung-petugas di UNCHR Maungdaw) dan abang ipar kepada seorang pelajar warganegara Myamnar (kini penuntut di IPTA) yang ditahan secara arbitari dibebaskan serta-merta. Ketiga-tiga mangsa telah di tahan masing-masing pada 10 Jun 2012 (bapa Aishah) dituruti penahanan kakak dan abang ipar Aishah pada 18 Jun 2012. Mereka adalah sebahagian daripada mangsa kempen pembersihan etnik oleh puak junta Myanmar dengan mensabitkan ketiga-tiga mereka dengan kesalahan berat tanpa bukti.

Dr. Tun Aung, 65 tahun ialah juga penghidap penyakit Tumor Pituitari dan sedang menjalani rawatan kini berhadapan dengan undang-undang bagi lima (5) pertuduhan iaitu:-

1)      Tidak menghormati Negara,
2)      Menjadi dalang kepada tercetusnya rusuhan,
3)      Memegang kad pengenalan diri palsu,
4)      Memegang kewangan asing, dan
5)      Penyalahgunaan alat teknologi dan media.

Beliau kini dipenjarakan dalam ruang yang teruk, kotor juga disiksa fizikal dan mental. Beliau juga telah dinafikan hak untuk mendapatkan peguam, tidak dibenarkan untuk membela diri dan tidak dibenarkan untuk memanggil saksi bagi membuktikan beliau tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Manakala pertuduhan yang dikenakan ke atas kakak dan abang ipar pelajar terbabit adalah memegang kad pengenalan diri palsu, penyalahgunaan alat teknologi dan media serta terlibat dengan politik. Akibat penahanan ini, anak mereka yang berumur dua tahun hilang tempat bergantung dan tiada yang menjaganya. Sudah tentu jika keadilan tidak ditegakkan, nasib anak kecil ini akan hancur berkecai dan inilah yang diimpikan oleh junta tentera Myanmar yang giat melakukan pembersihan etnik dengan pelbagai cara ke atas masyarakat yang tidak berdosa.



KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’

Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Justeru itu, Abim mendesak agar:-

1)      Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB,

2)      Membebaskan Dr. Tun Aung serta anak perempuan dan menantunya daripada penjara dan menggugurkan segala pertuduhan tanpa bukti yang dikenakan ke atas mereka.




Abim juga menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.



Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Juga merangkap aktivis Kempen ‘Citizenship for Rohingya’)

»»  READMORE...

Wednesday, June 6, 2012

All about me on 4th June 2012


Ketika mengacarakan Majlis Perasmian Halal Executive Program Kolej UNITI 2012


Berposing sebentar di Meja Kerjaku, @ Kolej UNITI



Gaya Pensyarah ke? atau gaya seorang wartawan/jurnalis?

Apa2 pun, dua-dua ilmu yang belajar selama 4 tahun di UIA diaplikasi dalam kerjaya. Alhamdulillah.


Kawan-kawan sekerja yang 'happening' :)



Setelah setahun bekerja, ini dia hadiah untuk diri sendiri...Saga FLX Executive (CVT) 1.3. Alhamdulillah.

Semoga Miss Elegant Brownie sihat dan berkhidmat dengan baik pada tuannya selalu :)

Nota Mimosa:

Bersyukurlah dengan kejadian diri, optimumkan potensi diri kerna

ANDA ADALAH APA YANG ANDA SENDIRI FIKIRKAN!!!



»»  READMORE...

Monday, May 28, 2012

AKU SAYANG EMAK DAN AYAH

Jumaat lepas, aku menerima sebuah panggilan telefon dari kakakku, Suraya pada lewat malam. Ketika itu jam menunjukkan 12:48 tengah malam. Hatiku berdebar-debar.

"Ayah muntah darah", katanya ringkas.

Aku bingkas bangun dari pembaringan (ketika itu sedang berbaring untuk tidur).

"Kenapa? Ayah demam ke?" tanyaku bertalu-talu.

"Tak, tetiba je. Lepas makan nasi dan bubur lambuk (dari masjid sempena 1 Rejab), tak lama lepas itu rasa sebu dekat perut, dan terus muntah darah berlambak kat bilik air. Nasa (adik) dengan mak terus bawa pergi ke hospital." cerita kakakku.

Air mataku mula bertakung, hati mula berdetak-detak kerisauan.

"Kalau ada apa-apa berita maklumkan segera tau." Pesanku pada kakakku yang sedang sarat mengandung anak ketiga.

***

Aku segera mesej abang sulongku untuk mengajaknya balik ke Johor.

Abangku balas ringkas, "Kita balik, siap-siap sekarang."

Jam 2:30 pagi kami bertolak ke Johor, dan sampai di rumah pada jam 5:15 pagi.

Ketika itu, ayahku sudah di tahan di wad pesakit lelaki.

Aku tidak sabar mahu ke hospital keesokan paginya untuk bertemu ayah yang sangat kukasihi.

***

Kesemua adik-beradik balik ke rumah setelah menerima berita tentang ayah yang di tahan wad. Segala urusan peribadi seperti kelas dan kerja ditinggalkan demi ayah tercinta. Pasti ini sedikit sebanyak menggembirakan hati ayah apabila kesemua anak-anak yang seramai 9 orang melawat, menjaganya secara bergilir-gilir.

***

Paling dikagumi adalah ibuku. Ibuku banyak berkorban, siang malam menemani ayah tanpa keluh-kesah. Lenanya hanya di kerusi sebelah katil ayahku sehingga kakinya bengkak. Ibuku hanya pulang rumah sebentar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai jiran (rewang) yang menjalankan walimah anak perempuannya.

Kemudian, segera ke hospital untuk menemani ayah supaya tidak keseorangan menanggung dugaan Allah.
Aku faham kenapa ibuku berbuat demikian. Apalah makna seorang isteri, kalau bukan setia di sisi suaminya. Apatah lagi tatkala dalam kesakitan.

Syurga isteri adalah suaminya, redho suami, adalah redho Allah jua.

***

Saat luahan ini ditulis, ayahku masih di wad untuk hari ke-empat. Aku pula terpaksa pulang ke Port Dickson dengan berat hati kerana tuntutan kerja, tetapi diri ini tidak putus mendoakan kesejahteraan ayah di sana.

Baru seketika aku menelefon ayah bertanyakan perkembangan terkini. Katanya, doktor minta beliau untuk menahan makan sebelum melakukan rawatan (memasukkan kamera) untuk memastikan segalanya baik luaran dan dalaman walaupun ayah sudah berasa 'ok'. InsyaAllah.

Dari kejauhan ini, aku ingin menyatakan rasa sayangku pada kedua ibu-bapaku. AKU SAYANG SANGAT KEDUA IBUBAPAKU.

Mereka mengajarku erti kesabaran dalam mendepani kehidupan sedari kecil. Berkat kesabaran itu, kesemua adik-beradik mendapat pendidikan yang baik sebagai bekalan kami di dunia dan akhirat (InsyaAllah). Mak ayah pernah berkata pada suatu masa dulu, "Mak ayah tak mahu kamu semua hidup susah macam kami dulu-dulu.Sekurang-kurangnya, mak rasa lega nak pergi kalau semua dah berjaya."

Ok, mataku mula berkaca, ingin tertumpah segala airmata, hidung mula selsema sebak. :s


Semoga keduanya di rahmati Allah Ta'ala, dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan bersama para mukmin soleh di syurga Firdausi. Amin Ya Rabb
»»  READMORE...

Tuesday, May 22, 2012

ISTIQOMAH: CIRI PENTING REMAJA MUSLIM BERWAWASAN




Antara sifat mulia yang diberikan darjat tinggi dalam Islam adalah beristiqomah. Ya, alam remaja penuh dengan 1001 pesona menggoda dan onak duri yang memakan diri bila sekali terlalai. Dengan istiqomah, remaja muslim mampu menepis segala dugaan yang menguji keimanan supaya tetap di atas manhaj yang lurus menuju kehidupan yang diredhai Ilahi. InsyaAllah.

Istiqomah adalah satu ciri penting kearah membina jati diri remaja muslim berwawasan. Remaja berwawasan mempunyai tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam tentang perkembangan masa depannya atau dengan lain perkataan, remaja berwawasan adalah remaja yang tahu ke mana hala tuju kehidupannya.

Bagi remaja muslim, wawasan kehidupannya tidaklah terhad kepada duniawi semata-mata tetapi untuk alam yang lebih abadi iaitu alam akhirat. Disitulah penghidupan sebenarnya, sementalahan dunia ini diibaratkan sebagai ladang untuk kita menanam sebanyak-banyaknya benih amal supaya hasilnya dapat dikutip sebagai bekalan bertemu-Nya, Allah Rabbul ‘Izzati. InsyaAllah.  

Namunpun begitu, kehidupan di dunia ini tidak semudah yang di jangka. Pelbagai pesona yang menggoda syahwat menyebabkan ramai remaja muslim terjerumus  ke dalam lembah kehancuran dan kehinaan. Justeru itu, sedari awal Islam mementingkan untuk kita istiqomah di atas jalan-Nya. Untuk itu, Rasulullah sebagai pembawa risalah dari Allah S.A.W  telah bersabda, bermaksud,

Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah, Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, saya berkata : “ Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorangpun selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (istiqomahlah). (Riwayat Muslim).


LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SIFAT ISTIQOMAH

            Istiqomah senang dilafaz, tetapi sukar sekali dilaksanakan. Oleh itu penulis akan berkongsi beberapa hal utama yang boleh membantu kita untuk istiqomah seperti yang dipetik daripada Syarah Hadith Istiqomah oleh Syaikh Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr di RadioRodja.com (sumber: us.kajian.net).

Pertamanya ialah doa. Doa sebagai kunci segala kebaikan adalah senjata untuk kita memohon kepada Allah agar sentiasa istiqomah dengan akidah yang benar hingga ke akhir hayat dunia. Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-‘Imran, ayat 8 yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”.

Keduanya ialah mujahadah iaitu berjuang bersungguh-sungguh untuk mengamalkan perintah Allah Ta’ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Remaja harus tabah dan istiqomah untuk membawa imej muslim sebenar walau di mana jua mereka berada. Dengan pelbagai ancaman ideologi yang cuba memesong akidah dan amalan mengikut syariah, remaja harus bulatkan tekad, tingkatkan iltizam beristiqomah dengan ajaran Islam yang syumul sebagai identiti diri.

 Ketiga ialah solat. Menurut Syaikh Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr, solat adalah wasilah atau jalan supaya tetap teguh (thabat) di atas jalan Allah. Ini kerana setiap kali solat, kita akan membaca surah Al-Fatihah sebagai salah-satu rukun solat. Dalam bacaan Al-Fatihah, kita sebenarnya sedang berdoa untuk sentiasa istiqomah di jalan-Nya yang lurus. Remaja hari ini harus kembali menghidupkan ruh solat dalam jiwa dan raga kerana solat adalah perisai diri dari segala kejahatan dan kemaksiatan.

            Berikutnya ialah membaca Al-Qur’an. Al-Qur’an mestilah dijadikan wirid harian sebagai pengubat jiwa dan rohani yang ketandusan. Ia bukan sekadar dibaca, tetapi perlu diiringi dengan kefahaman terhadap intipati yang ingin disampaikan (tadabbur) melalui orang-orang soleh dan buku-buku agama yang benar. Remaja Muslim harus mendekatkan diri dengan Al-Qur’an kerana ia adalah petunjuk jalan yang benar. Zikr Al-Ma’thurat juga yang dibaca waktu pagi dan petang juga penting sebagai pelindung sehari-hari kita dalam menjalani kehidupan dunia.

            Selain itu, hal lain yang boleh memperkukuh diri untuk beristiqomah ialah dengan menjauhi segala sumber fitnah iaitu tempat tersebarnya segala syahwat seperti pusat hiburan, pusat judi dan sebagainya. Islam melarang kita menjerumuskan diri ke tempat-tempat sedemikian kerana ia akan merosakkan kepercayaan (thiqah) diri kerana kita gagal istiqomah untuk kekal di atas manhaj Islam. Walaupun begitu, Allah memberi peluang untuk kita kembali kepada-Nya melalui pintu taubat kepada yang terlanjur derhaka kerana manusia itu sifatnya lupa dan lalai.

            Seterusnya ialah memilih sahabat-sahabat yang baik lagi soleh. Pada peringkat umur remaja, rakan sebaya adalah agen sosialisasi terpenting selepas keluarga. Justeru, pemilihan rakan yang soleh membantu seseorang remaja untuk kekal istiqomah sebagai muslim yang taat dan berwawasan. Sahabat yang baik diibaratkan sebagai penjual minyak wangi dimana kita akan mendapat tempias wangiannya, dan sahabat yang jahat diibaratkan sebagai pembuat besi dimana kita mendapat tempias bau tengik besi tersebut.

            Menjaga diri dari tipu-daya syaitan juga antara hal yang perlu dititik-beratkan untuk setiap remaja istiqomah dengan wawasan dan jati diri muslim. Segala kesukaan syaitan seperti lalai mendirikan solat, malas, berhibur, berangan-angan, bermewah-mewah dan leka dengan pelbagai alatan teknologi merupakan antara ruang dan peluang untuk syaitan laknatullah menipu daya manusia ke jalan yang dimurkai Tuhan. Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap remaja muslim menutup segala pintu-pintu yang menggoyahkan identiti sebagai remaja muslim yang berwawasan dengan bersederhana (wasatiyyah) dalam semua perkara.

            Akhirnya ialah mengingati hari akhirat sebagai motivasi untuk remaja muslim sentiasa beristiqomah. Tiada yang lebih indah bagi seseorang Muslim apabila di akhir hayat dunianya dikurniakan husnul khatimah dan berbahagia di alam abadi. Pada umur muda remajalah, kita digalakkan menggunakan segala kekuatan kurniaan Tuhan dari aspek intelek, idealism, tenaga dan jiwa untuk membuat sebanyak-banyak amal kebajikan untuk hari kemudian yang lebih abadi.

            Kesimpulannya, remaja berwawasan adalah remaja yang sentiasa istiqomah dengan keimanan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Sifat istiqomah ini perlu dibajai dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal (D.U.I.T) supaya kekal subur di dalam diri dan menaikkan thiqah (kepercayaan) remaja muslim tatkala ramai yang kecundang. Semoga adik-adik remaja muslimku di luar sana menjadi remaja mu’min yang sentiasa berwawasan selari dengan ajaran Islam. Amin Ya Rabb. Wallahu’alam.


 Oleh:

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.

(Juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor- PKPIM-Abim-Wadah 2008-2010)
»»  READMORE...

Friday, May 18, 2012

MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI DAN MENDIDIK KANAK-KANAK PEREMPUAN (HELPING BOYS, NURTURING GIRLS): SUATU LONTARAN AWAL.



Suatu fakta yang diketahui umum dan perlukan perhatian pihak organisasi pendidikan ialah nisbah mahasiswa dan mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi adalah dengan jurang ketara iaitu 35: 65 yang bermula pada awal era 1990-an hingga kini. Kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPTA untuk pelbagai peringkat, diploma, sarjana muda, diploma lanjutan lepasan ijazah, sarjana dan Doktor Falsafah pada sesi 2009/2010 juga menunjukkan peratusan kemasukan yang sama.

Bagi kemasukan ke IPTA pada tahun 2009 dan 2010, nisbah peratusan keseluruhan kemasukan pelajar lelaki kepada perempuan untuk pelbagai peringkat adalah 39:61. Pada tahun 2009, daripada 153, 470, hanya 59, 706 adalah lelaki. Manakala, pada tahun berikutnya, jurang peratusan masih kekal walaupun terdapat peningkatan jumlah kemasukan iaitu 65, 204 daripada 167, 159 pelajar adalah lelaki dan selebihnya adalah pelajar perempuan.

Berikut adalah statistik kemasukan pelajar ke IPTA mengikut gender bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dari tahun 2006 hingga 2012 yang menunjukkan nisbah pelajar lelaki kepada perempuan sebanyak 37:63.


Tahun
Pelajar lelaki
Pelajar perempuan
Jumlah keseluruhan

2006

80, 231

143, 737

223, 968

2007

94, 337

153, 544

247, 881

2008

27, 803

47, 324

75, 127

2009

29, 051

50, 955

80,006

2010

43, 627

61, 750

105, 377

2011 (sesi pertama pengambilan)

14, 266

27,001

41, 267

Jumlah

289, 315

484, 311

773, 626
























(Sumber: Laman sesawang rasmi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Berita Harian Online, dan MStar Online, dimuat turun pada 16 Mei 2012)

Fenomena golongan perempuan mendominasi IPTA ini bukanlah baru dibicarakan kerana ketidakseimbangan gender ke institusi pendidikan tertiari bermula seawal tahun 1990-an. Pada era sebelumnya, pelajar lelaki lebih medominasi IPT manakala ramai wanita tidak meneruskan pelajaran sehinggakan telah berlaku pemberdayaan potensi kaum wanita seluruh dunia di bawah UNICEF.

Penekanan kepada kebajikan dan pemerkasaan wanita boleh dilihat dengan tergubalnya Dasar Wanita Negara pada lewat 1980-an, penumpuan khusus terhadap wanita dalam Rancangan Malasyia ke-enam (1990-1995) dan paling utama tertubuhnya Kementerian khas untuk isu-isu berkaitan wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2001 serta sebarang bentuk diskriminasi ke atas wanita adalah dikira suatu jenayah yang termaktub dalam pindaan Perlembagaan Malaysia pada Ogos 2001. (Memperkasa Wanita-wanita di Malaysia di http://www.unicef.org/malaysia)

Kesan positif dari pengupayaan wanita dalam pendidikan kita boleh lihat pada hari ini bilamana para wanita berpendidikan mula menceburi bidang professional dan turut serta sebagai tulang belakang pembangunan negara. Namunpun begitu, tidak tahu dimana puncanya, golongan lelaki seolah-olah terpinggir sehingga berlaku perkembangan pola yang tidak seimbang antara gender. Ini boleh dilihat apabila wanita menjuari carta kemasukan dalam Institusi Pendidikan Tertinggi untuk beberapa dekad sehingga hari ini.

Penulisan ini bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi ketidakseimbangan ini perlukan perhatian rapi oleh semua terutama institusi pendidikan. Institusi pendidikan Negara dikatakan terlalu keperempuan yang memerlukan penumpuan, pembacaan dan penghafalan fakta sehingga ramai pelajar lelaki tewas sedari di bangku sekolah rendah lagi. Kesan lebih ketara apabila pelajar-pelajar lelaki ke sekolah menengah kerana disinilah ‘transit’ penting yang membolehkan mereka layak ke IPT ataupun tidak. Malangnya ramai yang ‘gagal’ oleh kerana sistem pendidikan ini melemahkan keperkasaan diri mereka.

IMPLIKASI SOSIAL AKIBAT KEPUPUSAN LELAKI DI MENARA GADING

Tiada kesan positif yang mampu dicoretkan kepada isu kepupusan lelaki di menara gading. Malah, bertalu-talu pula kesan negatifnya terutama jika dipandang dalam aspek pembangunan sosial negara-bangsa di masa hadapan.

Implikasi jangka panjang akan berlaku kepincangan dalam unit kecil sosial sendiri iaitu keruntuhan institusi keluarga. Ini akan  berlaku apabila keluarga bergantung kepada pendapatan si isteri kerana berjawatan besar berbanding si suami yang berkelulusan dan bergaji rendah. Natijahnya, si isteri akan mengambil peranan suami sebagai ketua keluarga yang memberi nafkah kepada anggota isi rumah. Malah, penumpuan si isteri di tempat kerja dengan jawatan berkelulusan tinggi hanya akan meyebabkan fokus kepada keluarga semakin kurang.Justeru itu apakah implikasinya kepada institusi keluarga?

Bukan itu sahaja, kesan negative lain yang semakin jelas adalah ‘trend kahwin lewat’. Dr. Anjli Doshi Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyatakan kekhuatirannya apabila kajian menunjukkan 30 peratus wanita dalam lingkungan umur 25 dan 29 tahun masih lagi bujang manakala bagi lelaki 25 peratus dalam lingkungan umur 30 hingga 34 tahun. Alasan yang umumnya diterima daripada kemunculan trend kahwin lewat ini adalah tiada calon yang sesuai bagi wanita dan kewangan tidak stabil bagi lelaki. Bukankah trend ini jika dibiarkan hanya akan merugikan Negara? Apatah lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dalam satu perhimpunan UMNO, 1982 menyatakan satu dasar iaitu Dasar Kependudukan Negara ke arah  mencapai 70 juta rakyat Malaysia menjelang 2035. 

Malah kekurangan golongan lelaki di menara gading mengurangkan kualiti modal insan idaman negara yang bercita-cita menjadi negara industri dengan kebolehan kemandirian yang setanding peringkat global. Keciciran lelaki dalam pendidikan seolah-olah merupakan ‘dosa’ kerana gagal untuk mendapatkan kerjaya yang baik. Inilah fenomena sosial yang merunsingkan dan jika tidak ditangani segera akan berlaku pelanggaran sunnatullah yang lebih teruk.


KECICIRAN LELAKI DALAM PELAJARAN: BAGAIMANA MAHU ATASINYA?

Pelbagai cadangan dibentang oleh pelbagai ahli ademik sebagai usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan gender ini terutama dalam aspek pendidikan. Daripada penelitian penulis, lelaki bukanlah tidak hebat, tetapi dilemahkan oleh sistem pendidikan yang lebih memihak kepada perempuan selain sesi pengajaran dan pembelajaran (pnp) yang tidak tepat untuk pelajar lelaki sehingga berlakunya keciciran terutama untuk kelulusan ijazah sarjana muda. Kekurangan penawaran jurusan yang menepati kelayakan lelaki juga menjadi faktor kemerosotan dan keberadaan mereka di IPTA khususnya yang lebih banyak menawarkan bidang sastera.

Ini boleh dilihat apabila penguasaan bidang-bidang aliran sastera seperti sejarah, bahasa, ekonomi dan pelbagai lagi menjadi pilihan pelajar perempuan untuk meneruskan pengajian ke IPTA/ S dan Politeknik. Ini kerana kebolehan pelajar perempuan untuk membaca, menghafal fakta dan penumpuan fokus yang lama berbanding lelaki. Pada tahun 2009, kemasukan pelajar perempuan ke IPTA untuk jurusan sastera adalah dengan nisbah 32: 68 iaitu 27, 481 pelajar lelaki dan 57, 981 pelajar perempuan. Pada tahun 2010, nisbah pelajar lelaki kepada perempuan adalah sebanyak 33: 67 dengan kemasukan sebanyak 30, 822 pelajar lelaki daripada keseluruhan 94, 462. (Indikator Pengajian Tinggi 2009-2010)

Manakala bagi pelajar lelaki, mereka lebih cenderung untuk memilih bidang sains tulen dan teknikal. Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan KPT menunjuk jumlah pelajar lelaki yang seimbang dengan pelajar perempuan, malah di IPTS dan politeknik mereka lebih dominan kerana secocok dengan kecenderungan mereka sebagai lelaki. Di IPTA, jumlah pelajar lelaki dan perempuan hampir seimbang dengan nisbah 47: 53 pada 2009 dan 2010. Manakala di IPTS, lelaki melebihi majoriti dengan kemasukan pada 2009 seramai 38, 231 berbanding 36, 014 atau dengan nisbah 51:49. Pada 2010 pula, nisbah meningkat sedikit kepada 52: 48. Di politeknik juga menunjukkan pelajar lelaki lebih dominan iait dengan nisbah kepada perempuan sebanyak 58:42 (2009) dan 56:44 (2010).

Justeru itu, boleh kita simpulkan bahawa pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar lelaki dan perempuan adalah berbeza mengikut kekuatan fitrah masing-masing. Lelaki lebih berjaya dalam bidang sains dan teknikal kerana itulah kekuatan mereka. Begitu juga perempuan yang cocok dengan bidang sains sosial. Keseimbangan pelajar lelaki di IPT boleh dikurangkan apabila pendidik mengenal pasti teknik pnp yang terbaik untuk pembangunan kedua-duanya.

Jika UKM dan UPM didominasi oleh golongan perempuan, begitulah juga UPNM, UTeM dan UTHM yang mesra lelaki kerana jurusan yang ditawarkan adalah menepati selera dan minat pelajar lelaki. Penaiktarafan politeknik dan vokasional sebagai IPT juga membantu golongan lelaki supaya keciciran dalam pelajaran peringkat tertiari dapat dikurangkan.

MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI DAN MENDIDIK KANAK-KANAK PEREMPUAN (HELPING BOYS, NURTURING GIRLS)

Bagi Kolej UNITI khususnya di bawah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia memandang serius isu keciciran lelaki di IPT. Fakulti di bawah pimpinan Dekannya, Ahmad Shafiai Uda @ Pak Utih telah menggagaskan satu usaha yang diharapkan dapat membantu pengembalian pendidikan yang sesuai mengikut  fitrah lelaki dan perempuan yang sememangnya berbeza.

Perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan telah Allah Ta’ala firmankan didalam KitabNya yang bermaksud, “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Tambahan lagi, Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Sebagai kesimpulan, usaha membantu pelajar lelaki dan mendidik pelajar perempuan akan dimulai dengan memberi penekanan sedari pendidikan pra-sekolah dengan jenamanya “Helping Boys, Nurturing Girls”. Ini supaya kanak-kanak lelaki dapat dibangunkan keperkasaannya sebagai pemimpin dan kanak-kanak perempuan dapat dididik sebagai pemelihara dan taat yang sangat penting kepada kesejahteraan sosial dalam masyarakat dan seterusnya Negara. Kepercayaan kepada perbezaan fitrah ini mempunyai sangkut paut dengan sistem dan silibus pendidikan yang dirangka supaya ia berjaya mencapai misi dan visinya.Semoga usaha kearah pengembalian sosial kepada fitrah dan sunnatullah akan diberkati. Wallahu’alam.



Oleh:
Cik Faridah Mohd Tap
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson.



»»  READMORE...